"..Semua penulis akan meninggal. Hanya karyanya lah yang akan abadi sepanjang masa. Maka, tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti.."

[Ali Bin Abi Thalib]

Saturday, March 10, 2012

Perkongsian: "Seni dalam Berdakwah"

~~"In The Name Of ALLAH, Most Merciful, Most Benevolent..."~~



*****


Beliau melihat seorang remaja keluar daripada masjid sambil menangis.

Beliau terkejut.

Disusulinya, lalu disapanya dengan lembut.

“kenapa menangis ini?” Tanya beliau.

Remaja itu memberikan jawapan.

Dia dimarahi. Dimarahi oleh seorang ‘pakcik’ di dalam masjid.

Dia dimarahi kerana memakai baju yang bertulis ‘punk is not dead’.

*****

*****



Demikian kisah yang diceritakan oleh Dr. Danial Zainal Abidin kepada saya. Cerita yang hampir sama juga mungkin dilalui oleh kebanyakan remaja.

Saya tidak hairan mendengar kisah tersebut. Mungkin ada yang akan mengatakan bahawa budak itu memang bersalah, bagi saya bukan begitu. Tapi kerana, kisah seumpama ini telah banyak kita dengar.

·         Dimarahi kerana memakai baju bercorak banyak ke masjid.
·         Dimarahi kerana bersembang di dalam masjid.
·         Dimarahi kerana tidur di dalam masjid untuk qiamulail.
·         Dimarahi kerana tidak memakai kopiah atau songkok ke masjid.
·         Dimarahi kerana menukar siaran radio daripada yang ‘islamik’ kepada siaran radio biasa.
·         Dimarahi kerana membawa al-quran terjemahan bersama ke mana-mana. Alasannya, berakhlaq dengan al-quran lah, wudhu’ lah, macam-macam lagi alas an tak munasabah.

Serta banyak lagi ‘kisah-kisah menyakitkan telinga’ yang lain. Terlalu banyak sehingga tak dapat hendak disenaraikan semuanya.

Memang tak dapat dinafikan lagi, pada hari ini sudah banyak gerakan-gerakan pemulihan islam cuba dijalankan oleh pihak-pihak tertentu. Masyarakat sudah mula sedar tentang kepentingan islam dalam kehidupan sebagai seorang hamba dan khalifah.

Namun, adakah betul caranya? Bukankah kita selalu mendengar perkataan ‘niat tidak menghalalkan cara’? maka dalam dakwah juga sama. Caranya juga perlu betul.

Dakwah perlukan seni, sebagaimana lukisan.

Analoginya mudah.
Pernahkah kita cuba mengambil sekeping kertas, lalu mencontengnya dengan teruk? Apakah hasilnya?

*****

*****

Berbeza dengan kertas yang dilakar dengan teliti, diperhatikan dan diperhalusi hasilnya. Bagaimana pula kali ini?

*****

*****

Seperti juga lukisan, dakwah perlukan seni. Kerana bagi kita yang mengaku sebagai da’i, kita sedang menyeru manusia. Manusia yang fitrahnya menyukai nilai-nilai kesenian.

Dan perlu diingatkan, kita sedang ‘menyeru’. Bukan ‘menyuruh’.

Maka perlu dibezakan antara keduanya!

Majlis yang bosan!

Cuba bayangkan, jika kita dipanggil untuk menyertai satu majlis, yang tiada makan-makan di dalamnya, yang bosan, dengan mudah boleh membuatkan kita mengantuk, apakah kita bersemangat untuk menyertainya?

*****

*****

Jawapan yang paling jujur ialah, tidak.

Hakikat yang perlu kita fahami sebagai da’i, kita adalah penyeru. Kitalah yang perlu mengajak orang memasuki dewan itu, ke majlis yang bosan itu. Kita umpama 'penyambut tetamu' di dewan itu.

Maka, sebagai penyambut tetamu, tidak dapat dielakkan bahawa kita akan menjadi salah satu di antara dua:

  •       Penyambut
  •       Penghalau


Kita ibarat orang yang berada di pintu depan, di mana tetamu masuk ke majlis itu. Dan kitalah yang akan menjadi penentu, adakah mereka bakal memasuki majlis itu ataupun tidak. Sikap kita, layanan kita, perhatian yang kita berikan. Semuanya diambil kira.

Jika semuanya baik, bagus, menjadi satu kebaikan buat kita. Namun bagaimana sekiranya kerana kita, mereka terhalang daripada memasukinya?

Tiada penghargaan langsung diberikan. Malah langsung dimarahi, itu tidak kena, ini tidak kena.

Dalam melakukan sesuatu yang bosan, menyusahkan, perkara yang paling sering diperlukan manusia hanya satu. Penghargaan. Tidak kurang, tidak lebih. Sekadar itu. Penghargaan.

Seperti pelajaran.
Majoriti kanak-kanak menganggap pembelajaran sebagai sesuatu yang membosankan.
Maka apa yang mampu memotivasikan mereka untuk terus belajar?
Hanya satu. Penghargaan.

“Hasil kajian jelas menunjukkan tiada apa yang dapat memotivasikan seorang kanak-kanak lebih daripada mengetahui pembelajarannya dihargai oleh sekolah dan komunitinya. Hal ini tidak mungkin berlaku dengan sendirinya. Hal ini memerlukan campur tangan semua yang terlibat.”
[ Michael Fullan, Broadening the Concept of Teacher Leadership]

Sekiranya kita menelusuri kisah sirah, pasti dapat dilihat bagaimana Rasulullah S.A.W sangat menghargai para sahabat.

Kisah Rasulullah mengatakan pintu syurga terbuka luas buat Abu Bakar As-Siddiq.

kisah Rasulullah menggelarkan sebahagian sahabat dengan gelaran ahli syurga.

Bahkan kisah Rasulullah tidak memarahi orang arab badwi yang membuang air di dalam masjid.

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suriteladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
[Qs Ahzab, 33:21]

Hanya tahu mengeji, tidak mahu menghargai.

Namun inilah masalah terbesar masyarakat kita hari  ini. Bahkan para da’i juga tidak terkecuali.

Mengukir, namun tidak mewarna.

Saya tidak bermaksud kita tidak perlu memarahinya kerana membuat kesilapan, namun inilah yang dimaksudkan dengan kesenian.

Bukan hanya mewarna sahaja atau mengukir sahaja semata-mata.
Tetapi kedua-duanya sekali.

Ada kalanya, kita juga perlukan sedikit kekerasan. Kekerasan yang berbentuk dorongan. Dorongan untuk terus maju dan berubah. Itulah hikmah. Sinergi antara kelembutan dan kekerasan.

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
[Qs. An-Nahl, 16:125]

Namun bukan semua perkara perlukan kekerasan.

Masalah kita ialah, kesalahan dimarahi.
Namun kebaikan tidak dihargai.

Tidak hairanlah wujud pepatah inggeris,

“banyak kali aku melakukan kebaikan, aku langsung tidak  mendengarnya. Namun sekali aku melakukan kesilapan, aku mendengarnya selama-lamanya.”

Sepatutnya, kebaikan dihargai.
Kesalahan memang perlu dimarahi, namun dengan cara yang betul.

Kerana kita adalah penyambut tetamu di sebuah majlis yang bosan. Maka perkara yang sangat diperlukan oleh peserta-peserta majlis itu ialah penghargaan. Bukan hanya kejian yang tidak munasabah.

Jika tersilap langkah, (naudzubillah) kita bakal menjadi penghalau. Dan inilah yang sangat berbahaya. Tatkala kita menjadi antara orang-orang yang ‘menghalangi manusia dari jalan Allah’.

“Orang-orang yang kafir dan menghalangi (manusia)dari jalan Allah, Kami tambahkan kepada mereka siksaan di atas siksaan disebabkan mereka selalu berbuat kerusakan.”
[Qs An-Nahl, 16:88]

Tiada sambutan?

Seringkali kita bertanya, mengapa program-program islam, masjid, ceramah, kuliah agama, dan sebagainya sepertinya kelihatan hampir langsung tidak mendapat sambutan?

Ya, mungkin orang ramai boleh merungut, “generasi sekarang dah tak suka program agama,”, “remaja sekarang tak boleh diharap”, “anak muda sekarang tak takutkan Allah,” dan macam-macam lagi alasan kerana terlalu tinggi ego untuk mengakui satu hakikat.

Hakikat bahawa kita, penyeru, inilah penyebabnya.

Sikap kita, akhlaq kita, penghargaan yang kita berikan, layanan kita, inilah faktornya.

Sudahlah majlis itu bosan, ditambah lagi dengan sikap penyambut tetamunya yang menyakitkan hati, siapa yang mahu menyertai program tersebut? Saya pun tidak mahu!

Kesimpulannya,

Wahai da’i, siapakah anda?

Adakah anda seorang penyambut tetamu, yang mana kerana andalah majlis itu mendapat sambutan penuh?

Atau adakah  anda ‘penghalau tetamu’, yang mana kerana andalah majlis itu sunyi daripada sambutan?

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.
[Qs Al-Imran, 3:159]

Dan janganlah kamu mengusir orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi hari dan di petang hari, sedang mereka menghendaki keridaan-Nya. Kamu tidak memikul tanggung jawab sedikit pun terhadap perbuatan mereka dan mereka pun tidak memikul tanggung jawab sedikit pun terhadap perbuatanmu, yang menyebabkan kamu (berhak) mengusir mereka, sehingga kamu termasuk orang-orang yang zalim.
[Qs. Al-An’am, 6:52]


“apa guna artikel panjang-panjang, kalau tak ada impak.”

Megat Shahr Al-Imran,
Baiti Jannati,
0324 hrs 11032012.

*****

2 comments:

  1. mohon di copy ayat dibawah. "renungan untukku si penulis". :) tq.

    ReplyDelete
  2. emm, ayat tu bukan hakcipta ana. hakcipta penulisnya. tanya dia ya? ^^
    Rabiatul Fatimah Azzahra binti Rashid
    ttp://syauqatulwardah-lavender.blogspot.com/

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

>_< Ukhuwah is awesome!!!