"..Semua penulis akan meninggal. Hanya karyanya lah yang akan abadi sepanjang masa. Maka, tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti.."

[Ali Bin Abi Thalib]

Friday, September 16, 2011

Mari mulakan perubahan!!



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.... "Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku.”


Bayangkan:

*****
“aku di mana?”

Kita tersedar daripada tidur. Lantai terasa lembut. Kasar dan tidak rata. Tanah rupa-rupanya.

Entah kenapa, sekeliling terasa begitu gelap. Hanya samar-samar kelihatan sekeliling.

Tangan mula meraba-raba. Ada kepingan-kepingan keras. Daun rupanya.

Penglihatan mula jelas sedikit. Pohon-pohon kelihatan dari segenap arah. Kedengaran sayup-sayup suara salakan serigala. Juga bunyi cengkerik yang menemani kegelapan malam.

Nampak macam di hutan. Tapi hutan mana pulak?

Kita mula berjalan. Tiada arah yang dapat dituju, melainkan bergerak terus menurut  sahaja ke mana langkah kaki membawa kita. Sesekali tersadung akar pokok yang besar.

Beberapa lama kemudian…


Kita masih berjalan. Pakaian kini habis dikotori dengan tanah. Sering sangat terjatuh. Sekeliling masih dipenuhi pohon belaka. Langsung tiada tanda jalan keluar sudah hampir.

Selepas itu….

Huh. Rasanya sudah 5 jam berjalan, malangnya langsung tiada perkembangan baik. Kita sudah berjalan terhuyung-hayang. Dalam keputusasaan, kita terduduk.

Memang tiada jalan keluar. Nampaknya aku akan terus berada di sini.

Tiba-tiba,
               
                Sebuah cahaya terang menyilaukan mata. Datangnya dari atas.


                Kita tersenyum. Nampaknya, ada harapan kali ini.

                Kita mula memanjat pokok. Sedikit demi sedikit, sekarang kita hampir sampai di atas.

Namun..
               
                “Prap!” ranting tempat kita berpaut patah.

                Kita jatuh terjelepok ke tanah. Aduh, sakit benar.

                Kita masih belum putus asa. Pokok lain pula dipanjat.

 Tapi..

                “Prap!” jatuh lagi.

Kita cuba bangun. Adeh, sakitnya bukan kepalang. Tak sangka. Susah benar mahu sampai ke atas.

                Tak mengapa, cuba lagi.

Walaubagaimanapun,

                “kedebuk!” masih lagi jatuh.

Kita terduduk semula. Matilah kita di sini. Memang sudah takdir, sampai sini sahajalah semuanya. Memang sudah tiada langsung harapan.

Namun ada suara berkata.

“don’t stop believing! Don’t stop trying!”

Pokok lain dipanjat lagi. Sedikit, sedikit. Sangat berhati-hati.

“Akhirnya!” tinggal sedepa sahaja lagi untuk dicapai.

argh! sikit sahaja lagi!

 Namun masih tidak dapat dicapai. Tangan masih cuba mencapai.
               
“tolonglah!”

.............................

Akhirnya,

Cahaya tersebut tiba-tiba mendekat. Akhirnya dapat dicapai oleh tangan. Senyuman lebar terukir.

“Yes!”



*****

 Wahai teman-teman,

Tunggu sebentar, saya merayu.

Saya tidak meminta supaya anda memanjat pokok, mendaki gunung, berlari pecut, mengangkat berat, atau apa-apa sahaja kerja yang membebankan.

Mudah sahaja, saya minta, renungi dan hayati kata-kata ini. Tidak perlu terjun bangunan, tidak perlu pergi berperang. Hanya arahkan mata dan hatimu, lalu fikirkanlah…



Sahabatku,

Kita semua perlu berubah. Saya perlu berubah, awak perlu berubah. Cara hidup kita sekarang tidak menjamin kebahagiaan langsung. Buktinya, berapa ramai orang barat yang hidupnya kelihatan bahagia secara lahiriah, namun akhirannya membunuh diri?

Secara luaran, kita nampak seronok. Namun, dalaman kita? Rohaniah kita? Ke mana perginya?


Tanyakan kepada diri sendiri. Bahagiakah hidup sebegini?

Biarkan hati yang menjawab.


Kita mungkin boleh menipu akal. Namun hati, tidak dapat menipu. Nun  jauh di sudut hati, kita pasti tidak sanggup sebenarnya untuk terus hidup sebegini.

Kerana apa? Kerana… islam itu fitrah. Dan sesiapa yang melanggar hukum islam, bererti dia melanggar fitrah. Orang yang melanggar fitrah tidak pernah tenang. Hati sentiasa gundah, resah.

Hakikatnya, hati kita menentang apa yang kita lakukan. Pernahkah kita terasa ragu-ragu saat ingin melakukan sesuatu maksiat, ber’sms’ dengan wanita atau lelaki ajnabi misalnya?

Itulah suara hati kita. Suara yang tidak pernah dibutakan dengan godaan dunia. Hati yang telah mengaku bahawa hanya Allah yang akan ditaati olehnya.


“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.”
(Qs. Al-A’raaf, 7:172)

Kerana itu, kita sebenarnya tidak bahagia. Cara hidup kita sekarang sedang menuju ke neraka. Neraka dunia dan akhirat.

Dan tidak ada seorangpun daripadamu, melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan.”
(Qs. Maryam, 19:71)


Rakanku,
               
Mari berubah. Kita tidak boleh terus begini. Sampai bila kita hendak begini? Adakah apabila sudah melihat azab di depan mata, baru mahu berubah?

Jangan kata tak mampu. Semua orang mampu. Semua orang ada peluang untuk berubah. Saya  mampu berubah, awak mampu berubah. Jom, ikut saya.

Bila? Mulakan sekarang. Selepas ini, bangkit dari kerusi itu.

Keluarkan Al-quran yang berhabuk di atas almari itu. Mari baca, gerakkan bibirmu. Semoga dosa-dosa kita diampunkan oleh Allah. Mari, gerakkan badan untuk solat. Cepat! Sucikan hatimu!


Masih susah? Fikirkan.

Siapa yang menciptakan kita lengkap dengan semua anggota badan?

Udara yang kita sedut, siapa yang bagi?

Mata kita, siapa yang cipta?

Bumi tempat kita berdiri ini, siapa yang cipta?

Darah kita mengalir anpa henti di dalam badan, siapa yang jadikannya sedemikian?

Pernahkah Dia itu merungut? Pernahkah Dia itu malas memberikannya kepada kita?

Dapatkah kita bayangkan, kalau Allah malas hendak memberi kita udara selama 10 minit.
10 minit, cukup.
Adakah kita masih bernyawa?

Mengapa kita begitu malas hendak menyembah tuhan yang mana kita terlalu banyak berhutang budi kepadanya?

Awak! Cepatlah bangun! Jangan tunggu lagi!

Jangan takut, kalau awak jatuh, bangun kembali. Jatuh lagi? Bangun lagi. Jatuh lagi? Bangun balik.

Jangan berhenti bangkit. Teruskan. Akan tiba suatu masa, kita akan rasa betapa bahagianya hidup dengan islam.

Ingatlah, kita mulia hanya dengan islam!

Mari! Jom berubah! 



*****


"selamat tahajjud!!!"

Akh Megat Shahr al-Imran,
baiti jannati,
0349 am 17092011.

3 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

>_< Ukhuwah is awesome!!!